Saturday, 20 April 2013

Bernama : Hong Kong Kuasai Hari Pertama Kejohanan Renang Kebangsaan


KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Seramai tujuh perenang remaja berjaya melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Remaja 2014 apabila terpilih menerusi Kejohanan Renang Kebangsaan Peringkat Umur ke-49 di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil di sini Jumaat.

Mereka yang telah menempah tiket ke temasya itu ialah Wong Fu Kang, Nadia Adrianna Redza, Lim Ching Hwang, Welson Sim, Alwyn Tan, Yap Siew Hui dan Asmalia Filzati Redzuan.

Enam atlet remaja dari Hong Kong yang bertanding bagi kategori Peringkat Umur Jemputan Malaysia juga berjaya menempah tiket ke kejohanan tersebut yang akan berlangsung di Nanjing, China.

Kejohanan kebangsaan yang menjadi medan pemanas badan bagi atlet renang sebelum menghadapi pelbagai kejohanan dikuasai oleh Hong Kong apabila berjaya membawa pulang 14 pingat emas, 12 perak dan 13 gangsa pada hari pertama kejohanan.

Kejohanan selama tiga hari bermula hari ini hingga 21 April dibahagikan kepada dua kategori iaitu Peringkat Umur Jemputan Malaysia dan Peringkat Umur Tertutup Malaysia.

Ia juga disertai dua negara luar iaitu Hong Kong yang akan menghantar 48 atlet, manakala India menghantar sembilan atlet bagi kategori Peringkat Umur Jemputan Malaysia.

Tempat kedua disandang oleh Selangor yang berjaya merangkul lapan pingat emas, 10 perak dan enam gangsa.

Pingat emas pertama Selangor diperoleh melalui Nadia Adrianna Redza dengan catatan masa 2 minit 39.81 saat bagi acara 200 meter kuak dada wanita.

Pungutan emas kedua pula diperoleh melalui Yeap Zheng Yang bagi acara 100 meter gaya bebas lelaki dengan catatan masa 53.59s.

Lim Ching Hwang mencipta rekod baharu apabila berjaya mengatasi rekod yang dicapai Foo Jian Beng (51.89s) pada 2008 dengan catatan masa 51.04s bagi acara 100 meter gaya bebas lelaki.

Johor menduduki tangga ketiga carta pungutan pingat dengan marih lapan pingat emas, dua perak dan tiga gangsa diikuti Sarawak (7-8-5) dan Kuala Lumpur dengan enam emas, lapan perak dan 12 gangsa.

Perenang Johor, Wong Fu Kang mencipta dua rekod bahru apabila berjaya mengatasi rekod Lau Zheng Fong (2 minit 27.68s) pada tahun 2007 bagi acara 200 meter kuak dada lelaki dengan catatan masa 2 minit 22.25s.

Satu lagi pingat diperoleh menerusi acara 200 meter rampaian individu dengan catatan masa 2 minit 12.760s, mengatasi rekod yang dicapai Tia'A Faang Der (2 minit 14.15s) tahun lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...