Thursday, 5 May 2016

Utusan Online : Jinq En pecah rekod, tetapi belum cukup pantas

KUALA LUMPUR 5 Mei - Hanya 0.08 saat memisahkan perenang negara Phee Jinq En untuk menempah tiket kategori A ke temasya Olimpik Rio apabila dia menamatkan perlumbaan 100 meter kuak dada dengan masa 1:08.65 saat untuk merangkul pingat emas dalam Kejohanan Renang Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Darul Ehsan, Shah Alam hari ini.

Walaupun gagal meraih tiket kategori A untuk ke Olimpik, Jinq En tetap berpuas hati apabila berjaya mencipta rekod baharu kebangsaan dan rekod kejohanan, memadam rekod miliknya sendiri 1:08.99s yang dilakarkan ketika beraksi dalam Kejohanan Renang Peringkat Umur di Singapura.

Jinq En perlu mencatatkan masa sekurang-kurangnya 1.07.85s untuk merebut tiket kategori A ke Sukan Olimpik 2016 dan dia mengakui had itu agak sukar namun bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan apabila menyertai beberapa kejohanan lagi selepas ini.

“Saya akui masa itu agak sukar tapi saya yakin saya mampu untuk melepasi catatan itu.

“Ada tiga lagi kejohanan utama di Eropah selepas ini, justeru saya akan berusaha untuk meraih tiket kategori A bagi memastikan saya dapat melayakkan diri ke Olimpik Rio,” katanya yang sudah melepasi syarat kelayakan kategori B acara berkenaan.

Kemenangannya dalam acara itu menyaksikan atlet kelahiran Selangor tersebut menghadiahkan emas pertama negara dalam kejohanan ini.

Dia menewaskan seorang lagi perenang negara Erika Kong yang menduduki tempat kedua dengan masa 1:12.26s manakala gangsa milik perenang Indonesia, At Vanessa Evato yang mencatat masa 1:13.06s.

Bagi Jinq En kejayaan memecahkan rekod kebangsaan dalam acara kegemarannya itu adalah sesuatu yang memang menjadi sasarannya dan mampu menjadi pencetus semangat untuk dia terus memburu catatan lebih baik selepas ini.

Jinq En akan beraksi dalam dua lagi acara iaitu 50m kuak lentang esok dan 200m kuak dada pada Sabtu sebelum berlepas ke Australia untuk menjalani latihan pusat selama dua minggu di Melbourne minggu depan.

Dia adalah antara lima perenang yang telah melepasi syarat kelayakan kategori B untuk ke Sukan Olimpik di bandar raya Brazil itu.

Atlet berusia 19 itu mendapat tiket berkenaan ketika beraksi dalam acara 100m kuak dada di
Kejohanan Piala Dunia di Dubai tahun lalu.

Sementara itu perenang Olimpik negara, Welson Sim sekadar meraih pingat perak dalam acara 100 meter gaya bebas selepas tewas kepada pesaing dari Indonesia, Triady Fauzi Sidiq.

Triady menang dalam masa 50.36s, menewaskan Welson dengan kelebihan 0.28 saat manakala perenang dari India, Aaron D’Souza meraih gangsa dengan masa 50.98s.

Meskipun sudah melepasi syarat kelayakan bagi kategori B, Welson berkata catatan masa dalam acara 100m yang dilakukannya itu sedikit mengecewakannya ketika dia berasakan mampu untuk merakamkan masa lebih baik. – UTUSAN ONLINE

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/jinq-en-pecah-rekod-tetapi-belum-cukup-pantas-1.317867#sthash.5WDdn2np.dpuf

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...