Oleh Vikneswaran Raman
KUALA LUMPUR, 13 Jun -- Perenang muda Khiew Hoe Yean memecahkan satu lagi rekod acara 800 meter gaya bebas kebangsaan dan kejohanan dalam Terbuka Malaysia ke-63 di Pusat Akuatik Nasional, hari ini.
Perenang berusia 19 tahun itu yang merupakan peserta tunggal, mencatatkan masa lapan minit dan 06.00 saat (8:06.00s) untuk memadamkan rekod wakil Olimpik negara Welson Sim yang mencatat masa 8:09.77s di Kejohanan Renang Terbuka Victoria pada Februari 2019.
Pencapaian hari ini juga membantu perenang Kuala Lumpur itu memadamkan rekod kejohanan 8:12.11s oleh Srihari Nataraj dari India pada 2019, selain berada di bawah Masa Pilihan Olimpik (OST) pada 8:08.54s, menghampiri Masa Kelayakan Olimpik (OQT) pada 7:54.31s.
“Ini kali pertama saya berenang dalam acara 800m gaya bebas, jadi ia merupakan ketika dan masa yang baik.
Tetapi sebelum saya berenang, Saya yakin saya mampu bergerak pantas kerana saya rasa hebat semasa memanas badan dan saya beraksi cemerlang dan memecahkan rekod. Sejujurnya saya menyasarkan rekod itu sebelum saya terjun,” katanya kepada Bernama.
Hoe Yean juga mencatat masa di bawah 1:50.23s OST dalam acara 200m gaya bebas lelaki hari ini untuk memenangi acara itu dengan masa 1:49.38s, masing-masing mengalahkan pemegang rekod Welson (1:50.64s) di tempat kedua dan Low Zheng Yong (1:56.28s) di tempat ketiga.
Semalam, Hoe Yean memecahkan rekod kebangsaan berusia 23 tahun, 200m kuak lentang dengan mencatatkan masa 2:00.80s memadamkan rekod 2:00.94s bekas bintang negara Alex Lim Keng Liat.
Setakat ini, Hoe Yean telah melepas OST dalam acara 200m, 400m, 800m gaya bebas dan 200m acara kuak lentang, sementara Welson dan Phee Jing En masing-masing melepasi OST dalam 400m gaya bebas lelaki dan 100m kuak dada wanita.
Hanya perenang yang memenuhi OQT dalam acara masing-masing menjelang 27 Jun dijamin slot di Olimpik. Dalam kes acara 200m acara kuak lentang, OQT ialah 1:57.50s.
Perenang juga boleh layak di bawah OST, berdasarkan penglibatan universal bermakna sesebuah negara tanpa wakil yang layak ke Olimpik akan dibenarkan untuk menyertai dengan hanya seorang perenang lelaki dan seorang perenang wanita ke Sukan Olimpik Tokyo.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment