Saturday, 4 May 2013

Sinar Harian : Asum sasar ramai atlet layak ke Kejohanan Renang Dunia


4 Mei 2013

KUALA LUMPUR - Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) menyasarkan lebih ramai perenang negara dapat melayakkan diri ke Kejohanan Renang Dunia edisi ke-15 di Barcelona, Sepanyol yang dijadualkan berlangsung pada 19 Julai hingga 4 Ogos depan.
 
Setiausaha Kehormatnya, Edwin Chong berkata setakat ini enam perenang iaitu Daniel Bego, Kevin Yap Soon Choy, Shaun Yap Kah Choon, Khoo Cai Lin, Christina Loh dan Siow Yi Ting sudah menempah slot ke kejohanan itu.
 
Walaupun persatuan itu tidak mensasarkan jumlah atlet ke kejohanan itu tetapi persatuan itu berharap lebih ramai perenang dapat melayakkan diri ke Barcelona menerusi Kejohanan Terbuka Malaysia nanti," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
 
Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-56 selama empat hari yang bakal membuka tirainya di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil mulai 16 Mei ini disahkan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) sebagai antara medan kelayakan untuk Kejohanan Renang Dunia itu.
 
Kejohanan empat hari itu turut disertai Hong Kong dan India, dan penyertaan untuk peserta luar negara masih dibuka, katanya.
 
Selain menjadi medan kelayakan ke Kejohanan Renang Dunia, Kejohanan Renang Terbuka Malaysia juga turut menawarkan peluang kelayakan ke Sukan Olimpik Remaja 2014 di Nanjing, China.
 
Justeru itu, Edwin mahu semua perenang negara menggunakan peluang yang ada untuk mencipta catatan masa terbaik sekaligus menggalas cabaran negara bagi kedua-dua kejohanan itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...