Saturday, 22 September 2018

Sinar Online : Keith Lim dua kali pecah rekod Sukma


IPOH - Perenang kebangsaan, Keith Lim dari Wilayah Persekutuan menggegarkan Pusat Akuatik Tuanku Zara, Kompleks Sukan MBI hari ini apabila dua kali memecahkan rekod Sukan Malaysia (Sukma ) 2018 dalam acara 50 meter (m) gaya bebas.

Pada sesi saringan di sebelah pagi, Keith melakukan catatan masa terpantas 23.44 saat untuk meleburkan rekod 10 tahun milik atlet Selangor Foo Jian Beng, 23.45s yang dilakukan pada Sukma Terengganu 2008.


Beliau sekali lagi memperbaharui rekodnya sendiri pada aksi final di sebelah malam dengan catatan masa terpantas 23.19s, sekali gus menyaksikan beliau membawa pulang pingat emas penuh bergaya.

“Ini acara terakhir dalam penampilan terakhir saya pada Sukma...sebenarnya saya menyasarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan milik saya sendiri tetapi tidak tercapai.

“Saya sedikit kecewa kerana mungkin tersilap percaturan. Tetapi tidak mengapa kerana saya dapat menyumbang pingat buat kontinjen Wilayah Persekutuan,” katanya kepada Bernama selepas menamatkan perlumbaan.

Pingat perak acara itu diraih atlet Pulau Pinang Lim Yin Chuen yang melakukan 23.80s manakala gangsa menjadi milik wakil Selangor, Lim Zi Win dengan catatan 24.06s.

Rekod kebangsaan acara berkenaan ialah 23.10s yang dilakar Keith pada Jun lalu di Mare Nostrum, Monte Carlo, Monaco, memecahkan rekod sebelum ini milik Alwyn Tan (23.17s) pada 2015.

Keith cemerlang mengutip keseluruhan empat pingat emas pada penampilannya kali ini, termasuk 100m gaya bebas, 4x100m rampaian berganti-ganti dan 4x200m rampaian berganti-ganti.

Selepas ini, Keith yang merupakan pelajar University College Sedaya International (UCSI) dalam jurusan kewangan dan pelaburan akan menyertai Sukan Universiti Asean di Myanmar, Disember depan. - Bernama






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...