Monday 18 November 2013

Berita Harian : Daniel Bego tak sabar beraksi

Kuala Lumpur: Kali terakhir menghadiahkan lima pingat emas kepada Malaysia di Sukan SEA 2009, kemunculan Daniel Bego di Myanmar pastinya ditunggu-tunggu selepas 'tersisih' di temasya dwitahunan itu di Indonesia, dua tahun lalu.

Daniel terpaksa menjalani pembedahan di kedua-dua bahunya pada dua tahun lalu selepas doktor mengesan terdapat lebihan tulang sekali gus menyebabkan dia terlepas beraksi di Indonesia dan mempertahankan kelima-lima emas yang dimenanginya.

“Sekarang ini sakit itu makin kurang. Saya bagaimanapun tidak mahu meletak harapan tinggi untuk mengulangi pencapaian di Laos kerana saya yakin tahap pertandingan makin meningkat dan persaingan lebih kompetitif,” kata perenang kelahiran Sarawak itu.

Pada Sukan SEA 2009, Daniel mengocak kolam renang dengan memenangi emas dalam acara 100 meter (m), 200m dan 400m gaya bebas, serta 100m dan 200m kuak kupu-kupu serta pingat gangsa 4x200m rampaian gaya bebas.

Gerun lawan

Sementara itu, walaupun hanya mengambil satu acara - 10m platform individu - tetapi kehadiran ratu terjun negara Pandelela Rinong diharap mampu menggerunkan penerjun negara lain dan menjadi motivasi tambahan kepada rakan lain.

Pada kemunculan sulung Pandelela pada temasya dwitahunan itu di Korat 2007, Pandelela memperoleh satu pingat perak (10m platform individu) serta memperoleh dua emas 10m platform individu dan 10m platform seirama di Laos (2009) serta Palembang (2011).

Pada temasya kali ini, pemenang gangsa Sukan Olimpik London itu tidak akan menyertai acara 10m platform seirama dengan gandingannya, Leong Mun Yee yang akan tampil bergandingan dengan pasangan baru antara Nur Dhabitah Sabri atau Loh Zhiayi.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...