AKSI Chii Lin dalam acara 50m kuak dada individu wanita pada SUKIPT di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil semalam. |
BEKAS perenang negara, Leung Chii Lin menceriakan kontinjen Universiti Malaya (UM) apabila meraih dua pingat emas dan satu perak pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil semalam.
Chii Lin memenangi dua pingat emas dalam acara 50 meter kuak dada individu wanita dan 4x200m gaya bebas wanita serta satu perak (50m kuak kupu-kupu).
"Sasaran saya selepas ini adalah meraih dua pingat emas bagi acara 50m gaya bebas dan 4x100m.
"Selepas temasya SUKIPT, saya akan mewakili negara pada Sukan Universiti ASEAN (SUA) di Laos pada Disember depan dan saya akan buat yang terbaik dan berharap dapat menyumbang pingat untuk negara," kata Chii Lin semalam.
Pada hari pertama acara renang kelmarin, pelajar jurusan Sains Sukan UM itu yang pernah mewakili negara pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, merangkul dua emas dalam acara 100m kuak dada dan 100m gaya bebas.
Chii Lin, 21, mengundur diri sebagai perenang kebangsaan awal tahun ini kerana mahu memberi tumpuan kepada pelajaran, namun masih aktif dalam kejohanan antarabangsa yang melibatkan pasukan institusi pengajian tinggi.
Sementara itu, seorang lagi bekas perenang negara, Chui Lai Kwan turut cemerlang semalam apabila menambah tiga pingat emas dan satu perak buat Universiti Putra Malaysia (UPM).
Lai Kwan meraih emas dalam acara individu 50m kuak kupu-kupu wanita, 200m gaya bebas, 200m rampaian serta gangsa menerusi 4x200m gaya bebas.
Bagi acara tenpin boling, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya menggondol satu pingat emas dan satu gangsa bagi kategori berpasukan wanita.
Nursyamimi Supardi dan Fatin Azmira Khairul Faizi (UiTM) di tempat pertama dengan 2,692 jumlah jatuhan pin manakala Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (Kolej Segi) di tempat kedua apabila merekodkan 2,681 jatuhan pin.
Nazrinnah Mohammad Kamil dan Nur Umirah Abdul Radzuan daripada UiTM di tempat ketiga.
No comments:
Post a Comment