Saturday 20 April 2013

mStar Online : Renang: Shaun Yap Layak Ke Kejohanan Dunia Di Barcelona


Sabtu April 20, 2013

KUALA LUMPUR: Perenang kebangsaan Shaun Yap Kah Choon melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Barcelona, Sepanyol, Ogos ini apabila mencatatkan rekod baharu pada Kejohanan Kebangsaan Peringkat Umur ke-49 di di sini pada Sabtu.

Perenang Selangor itu memperbaharui rekod sendiri dalam acara 50 meter kuak dada kategori umur 15-17 tahun dengan catatan masa 28.69 saat, sekali gus meleburkan rekod lamanya iaitu 30.45s.

"Saya sasar untuk melakukan prestasi yang lebih baik pada kejohanan dunia dan berusaha layak ke temasya Sukan Olimpik 2016 di Brazil," katanya yang akan mengambil bahagian dalam acara 100m kuak dada pada Ahad.

Hong Kong masih mendominasi kejohanan hari kedua di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil di sini dengan menambah 14 pingat emas, 12 perak dan 10 gangsa, sekali gus mengungguli carta pungutan pingat dengan 28-24-23.

Selangor masih kekal di tangga kedua dengan 18-23-17, diikuti Johor (16-7-7), Sarawak (15-14-12) dan Kuala Lumpur dengan 13 emas, 13 perak dan 25 gangsa.

Emas pertama Selangor disumbangkan oleh Yeap Zheng Yang dalam acara 400 meter gaya bebas (13-14 tahun) dengan catatan masa 4 minit 12.50 saat manakala pingat kedua menerusi Khoo Yee Shen dalam acara 50 meter kuak dada dengan catatan masa 33.85s.

Pingat emas ketiga pula diperoleh oleh Adam Faris Tan menerusi acara 50 meter kuak dada terbuka (18 tahun ke atas) dengan masa 29.70s, sekali gus mengatasi rekod kejohanan 30.15s milik Yap See Tuan, tahun lepas.

Dalam pada itu, Wong Fu Kang menyumbang tiga emas untuk pasukan Johor iaitu dengan rekod baharu acara 50 meter kuak dada (30.17s), 400m rampaian individu (4:46.35s) dan 50 meter kuak kupu-kupu (26.53s).-BERNAMA


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...