Friday 27 March 2015

Berita Harian : Fu Kang lebur rekod 15 tahun renang kebangsaan


KUALA LUMPUR: Perenang muda kebangsaan, Wong Fu Kang memecah rekod kebangsaan berusia 15 tahun dalam acara 100 meter kuak dada lelaki pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-58 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

AKSI perenang muda kebangsaan, Wong Fu Kang.

Perenang Johor berusia 17 itu memadam rekod 1:02.59s ciptaan Elvin Chia dari Sabah pada edisi 2000 selepas mencatat kepantasan 1:02.56s.

Selain rekod kebangsaan, Fu Kang juga memperbaharui rekod kejohanan milik Sandeep Sejwal dari India iaitu 1:02.74s pada edisi 2013.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan beliau beraksi di temasya Sukan SEA Singapura pada Jun ini.

"Saya tidak jangka boleh memperbaharui rekod kebangsaan. Ia sukar dipercayai...ini adalah catatan peribadi terbaik saya yang sebelum ini melakukan catatan 1:04.01s.

"Saya benar-benar berlatih dengan keras kerana mahu layak sekali lagi ke Sukan SEA. Catatan masa ini dijangka membolehkan saya naik ke podium di Sukan SEA nanti," kata Fu Kang.

Dia kini mengikuti pengajian di Sekolah Antarabangsa Britain di Phuket, Thailand di bawah biasiswa.

Sukan SEA 2015 di Singapura akan berlangsung dari 5 hingga 16 Jun ini.

Pada temasya Sukan SEA di Myanmar pada 2013, beliau mewakili negara dalam acara 200m dan 400m rampaian individu tetapi tidak berjaya meraih sebarang pingat.

Catatan masa yang dilakukannya hari ini turut melayakkan beliau beraksi di Kejohanan Renang Dunia di Kazan, Russia, Julai ini, di bawah had kelayakan B iaitu 1:02.56s. - BERNAMA

JUARA... Perenang dari Johor, Wong Fu Kang (tengah) menjuarai kategori terbuka lelaki 100 meter kuak dada pada kejohanan Renang Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil di sini hari ini. - Foto BERNAMA


http://www.bharian.com.my/node/43585

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...