Sunday 8 May 2016

Utusan Online : Sakit bahu tak halang Cai Lin

SHAH ALAM 7 Mei – Terlibat dalam kemalangan jalan raya tiga hari lalu ketika pulang dari latihan sedikit merencatkan teknik renangan atlet negara Khoo Cai Lin apabila dia gagal merakamkan masa yang baik namun sudah cukup untuk memenangi pingat emas pada hari ketiga kejohanan renang Terbuka Malaysia di sini hari ini.

Atlet kelahiran Selangor itu sekadar mencatat masa empat minit dan 20.43 saat dalam acara 400 meter gaya bebas, tetapi menamatkan persaingan dengan jarak selesa ke atas dua pencabar dari Indonesia Raina Saumi Grahana dan Sagita Putri Krisdewanti yang menduduki tempat kedua dan ketiga selepas masing-masing mencatatkan masa 4:27.20s dan 4:28.30s di Pusat Akuatik Darul Ehsan.

Cai Lin terlibat dalam kemalangan jalan raya tiga hari lalu apabila bas yang membawa atlet India dan Hong Kong mengalami masalah brek lalu melanggar keretanya, menyebabkan bahunya mengalami kecederaan dan sedikit mengganggu rentak renangannya kerana masih terasa sakit.

“Saya sedikit kecewa kerana tidak mencapai sasaran saya apabila gagal merekodkan masa lebih baik untuk memastikan tempat ke Olimpik Rio dalam acara 400m gaya bebas ini lebih terjamin.

“Walaupun saya sudah melepasi kategori B tetapi masa itu hanya cukup-cukup saja jadi saya perlu merekodkan masa lebih baik.

“Kesan kemalangan yang berlaku tempoh hari sedikit sebanyak membuatkan saya trauma tetapi sekarang ini sudah semakin pulih,” katanya, yang akan beraksi dalam acara 800m gaya bebas esok.

Cai Lin menempah tiket dalam Kategori B ke Sukan Olimpik 2016 selepas mencatat masa 4:17.79s ketika memenangi pingat perak acara 400m gaya bebas Sukan SEA Singapura tahun lalu.

Namun perenang senior itu masih gagal melepasi syarat kelayakan dalam acara 800m dan perlu merekodkan sekurang-kurangnya 8:51.96 saat untuk mendapatkan tiket kategori B dan 8.33.97s bagi kategori A.

Catatan terbaik yang dimiliki perenang berusia 28 tahun itu dalam acara 800m adalah 8:53.53 saat.


- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/sakit-bahu-tak-halang-cai-lin-1.319625#sthash.Pjuq4mlv.dpuf

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...